Negara digemparkan tentang kisah Sudin Ajaib yg berkahwin dengan kanak-kanak perempuan di Kelantan dan melarikan kanak-kanak itu ke Selangor.
Kanak-kanak perempuan itu sudah ditemui dalam kelesuan tetapi Sudin Ajaib masih menghilangkan diri.
Terdapat pandangan perkahwinan ini dibenarkan kerana Nabi SAW juga dikatkan berkahwin dengan Syaidatina Aisyah RA ketika Ummul Mukminin ini masih kanak-kanak.
Jadi mereka juga berpendapat berkahwin dengan kanak-kanak juga adalah sunnah Nabi SAW.
Benarkah?
Kawie terjumpa Blog Ustaz Amin yang berbicara tentang isu ini pada 16 Mac 2010.
Ini adalah pendapat beliau...
###########################################
Saya ingin mengulas mengenai pernikahan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas.
Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana orang ini ingin mengikut sunah Nabi yang mengatakan Nabi menikahi Aisyah pada umur kanak-kanak.
Ketika saya belajar di Pakistan lagi, saya telah mengikuti perbahasan mengenai umur Aisyah ini. Berada di Mesir membuatkan saya lebih banyak membaca mengenainya walaupun bidang pengajian saya adalah Syariah.
Rupanya, telah banyak tulisan yang membicarakan mengenainya. Di bawah adalah di antaranya dan kita juga boleh merujuk kepada tulisan yang saya link kan dibawah sebagai bahan bacaan tambahan. Semoga memberi manfaat pada kita semua.
Beberapa fakta ringkas boleh dikongsikan di sini.
Sebenarnya, riwayat yang menerangkan mengenai pernikahan Aisyah dengan Rasullullah hanya bersumber pada satu-satunya perawi iaitu Hisyam bin 'Urwah.
Hisyam telah mendengar dari ayahnya dan dialah satu-satunya perawi yang pernah menyuarakan tentang umur pernikahan 'Aisyah r.a
Hadis ini mula diutarakan Hisyam ketika beliau mula bermukim di iraq ketika umurnya 71 tahun.
Mengenai Hisyam ini, Ya'qub bin Syaibah berkata: "Apa yang dituturkan oleh Hisyam sangat terpercaya, kecuali yang disebutkannya tatkala ia sudah pindah ke Iraq."
Syaibah menambahkan, bahwa Malik bin Anas menolak penuturan Hisyam yang dilaporkan oleh penduduk Iraq. (Ibn Hajar Al-Asqalani, Tahzib al-Tahzib. Dar Ihya al-Turats al-Islami, Jilid II, hal. 50)
Di sebut pula dalam buku tentang kehidupan para perawi Hadits, ketika Hisyam berusia, ingatannya sangat menurun (Al-Maktabah Al-Athriyah, Jilid 4, hal. 301). Kesannya, riwayat umur pernikahan Aisyah yang bersumber dari Hisyam ibn 'Urwah, tertolak.
Seterusnya, Menurut Al-Thabari, keempat-empat anak Sayidina Abu Bakar ra. telah dilahirkan pada zaman Jahiliyah.
Mari kita lihat rentetan sejarah di bawah:-
Sebelum tahun 610 M : Zaman Jahiliyah
Tahun 610 M : Permulaan Wahyu turun
Tahun 610 M : Islamnya Sahabat-Sahabat Terawal termasuk Saidina Abu Bakar r.a.
Tahun 613 M : Dakwah Nabi secara terang-terangan
Tahun 615 M : Hijrah pertama Umat Islam ke Habsyah
Tahun 620 M : Aisyah r.a dinikahkan
Tahun 622 M : Hijrah ke Madinah
Tahun 623/624 M : Aisyah tinggal bersama Nabi sebagai suami isteri
Jika 'Aisyah dinikahkan ketika umurnya umur 6 tahun, ia bermakna 'Aisyah telah lahir pada tahun 613 M. Ia bertentangan dengan Al-Thabari yang menyatakan bahawa keempat-empat anak Abu Bakar ra. lahir pada zaman Jahiliyah, yaitu sebelum tahun 610.
Selain dari itu, beza umur Aisyah dan kakanya Asma adalah 10 tahun (At-Thabari, Tarikh Al-Mamluk, Jilid 4, hal. 50).
Ibu Hajar pula menyatakan bahawa Asma meninggal pada tahun 73 atau 74 Hijriyah ketika berumur 100 tahun (Al-Asqalani, Taqrib al-Tahzib, hal. 654).
Ini bermakna ketika hijrah, umur Asma’ ialah 27 atau 28 tahun. Dan Ini bermakna umur Aisyah pada peristiwa hijrah ialah 17-18 tahun. Ini juga bermakna, Rasullullah mula tinggal serumah dengan Aisyah sebagai suami isteri pada umur 19-20 tahun.
Untuk bacaan lanjut, para pembaca bolehlah merujuk kepada
attachment di atas adalah tulisan yang dibuat oleh al-Marhum al-Allamah Mohammad Habibur Rahman Kandhalwi
Tulisan asal adalah di dalam bahasa Urdu. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang berusaha menterjemahkannya. Semoga kalian dirahmati Allah.
Semoga kajian di atas memberikan sedikit tambahan ilmu buat kita agar kita lebih menghampiri apa yang dibuat oleh Nabi berdasarkan ilmu dan iman, bukan tafsiran tanpa kajian.
“Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
30 Rabiul Awal 1431/ 16 Mac 2010 jam 12.50 tengah malam.