Kawie mendapat banyak info dari Wikipedia, Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan dan Hikayat Merong Mahawangsa
Keturunan Raja Jembal kebiasaannya menggunakan gelaran Raja, Nik dan Tuan. Gelaran ini biasanya dikaitkan dengan orang Kelantan yang berketurunan Raja Jembal.
Keturunan Raja Jembal dikaitkan dengan Raja Bersiong dan Puteri Saadong.
Cerita Raja Bersiong ini ada dinyatakan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, kitab lama yang mengisahkan tentang pembukaan negeri Kedah dan Raja-Raja Negeri Kedah.
Keturunan Raja Jembal
AImarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar (ayah Datuk Nik Aziz) adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kedai Lalat, Pulau Melaka dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Bharu.
Sejarah Raja Jembal telah ditulis oleh Almarhum Dato’ Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud bin Nik Ismail (ayah Dato’ Nik Ahmad Nik Kamil) sebelum Perang Dunia Kedua. Buku sejarah Raja Jembal yang ditulisnya telah dijadikan buku bacaan ilmu sejarah bagi sekolah-sekolah Melayu di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.
Antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Saadong, anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.
Asal-usul atau salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat, kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu. Raja Bersiong ini dikatakan membawa dua orang anak angkat yang bernama Raja Sakti dan seorang lagi bernama Tuan Puteri Mani Kemian.
Inilah gambar Buluh Betong
(ehsan pakcik Google)
(ehsan pakcik Google)
Ada cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu berasal dari ‘buluh betong’ dan Tuan Puteri Mani Kemian itu terbit dari ‘buih’. Dan ekoran daripada cerita dongeng itulah menyebabkan anak cucu Raja Jembal tidak memakan sayur buluh betung yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak dulu hingga sekarang.
Tetapi fakta tentang cucu-cicit Raja Jembal zaman sekarang sudah dikaburi dengan cerita yang dianggap dongeng dan sudah tidak percaya lagi dengannya. didapati kini tiada lagi keturunan Raja Jembal itu yang percaya dengan dongeng yang mengatakan asal-usul nenek moyang mereka dari buluh betung dan buih.
Cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu keluar dari buluh betung dan Tuan Puteri Mani Kenilan itu keluar dari buih hanyalah rekaan dan khayalan penulis sejarah yang tidak begitu arif tentang sejarah dan salasilah Raja Jembal.
Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang tidak membenarkan anak cucunya memakan sayur buluh betung dan tidak membenarkan anak cucunya membuat alat-alat rumah atau alat-alat pertanian dan lain-lainnya daripada buluh betung. Anak-anak cucu Raja Jembal juga tidak digalakkan memakan sejenis ikan bernama ikan sekacang.
Sejarah keturunan Raja Jembal itu bermula daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian, kedua duanya anak angkat Raja Bersiong.
Setelah kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah dilsytiharkan sebagai raja yang berdaulat di sekitar Kedai Lalat dan beberapa daerah lain di Kelantan. Hasil daripada perkahwinan Raja sakti dengan Puteri Mani itu lahirlah Raja Loyur, Raja Omar, Raja Bahar dan beberapa orang putera dan puteri lagi.
Keturunan Raja Jembal yang ada sekarang ini ialah cucu cicit kepada Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian itu. Menurut Cikgu Tuan Mat, pemerintahan Raja Jembal di Kelantan berakhir setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung (puteri Sultan Omar) pada tahun 1725.
Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung satu rebutan kuasa telah berlaku antara puteranya iaitu Raja Abdul Rahman dengan adindanya, Raja Pah (adik Raja Kecil Sulung yg bernikah dgn Long Bahar Datuk Pengkalan Tua putera Raja Patani).
Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman tersingkir daripada takhta pemerintahan keturunan Raja Jembal ini dan suami kepada Raja Pah, Tuan Besar (atau lebih dikenali sebagai Long Bahar) mengambil alih pemerintahan daripada keturunan Raja Jembal.
Perpecahan telah berlaku dalam kerabat keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar (Long Bahar) yang mengambil alih pemerintahan itu berasal dari Patani.
Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar atau Long Bahar itu bukan daripada keturunan Raja Jembal.
Walaupun pemerintahan Raja Jembal telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.
Sebuah sekolah menengah di Kedai Lalat telah diberi nama Sekolah Menengah Raja Sakti dan sebuah sekolah rendah di pekan yang sama diberi nama Sekolah Kebangsaan Raja Bahar
Dikatakan yang kerabat keturunan Raja Jembal kini berada di sekitar Kedai Lalat, Pulau Melaka, Sering dan di daerah-daerah lain di Kelantan dan masih lagi menggunakan bahasa diraja atau bahasa istana dalam pertuturan antara sesama mereka.
Perkataan ‘ku’, ‘patik’, ‘kanda’, ‘bonda’, ‘ayahanda’, ‘berangkat’, ‘cerat’, ‘mangkat’ dan sebagainya masih digunakan oleh keturunan Raja Jembal walaupun kini mereka hanyalah rakyat biasa yang tinggal di beberapa buah kampung di Kelantan.
Ini bererti bahawa pengaruh diraja dan istana masih tebal di kalangan cucu-cicit Raja Jembal yang masih hidup sekarang walaupun mereka telah dipisahkan dari istana sejak tiga abad yang lalu.
Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal telah pun ditubuhkan dan mendapat restu daripada Persatuan Kerabat Diraja Kelantan.
Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal sekarang diketuai oleh Raja Mahmud bin Raja Mamat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan dan Naib Ketuanya ialah Cikgu Tuan Mat bin Raja Kechik.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga telah dilantik sebagai penasihat kepada Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal ltu. Pihak Kerabat Diraja Kelantan telah diberitahu tentang perlantikan itu.
Terdapat sedikit riwayat tentang datuk nenek Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan keluarganya sebagai berketurunan daripada Raja Jembal yang masyhur dalam sejarah negeri Kelantan.
Datuk sebelah bapa kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih lagi menggunakan panggilan ‘raja’, iaitu Raja Banjar.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengingati suatu perkara tentang almarhum datuknya ini. Raja Banjar bukanlah orang kaya walaupun memiliki banyak tanah.
Mengikut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, datuknya suka merantau meninggalkan rumah sehingga satu atau dua minggu. Apabila beliau pulang, dikerjakannya tanah dengan menanam kelapa dan getah secara bersungguh-sungguh bagaikan menggantikan masa kerjanya yang telah terbuang disebabkan merantau itu.
p/s: saja nak share info nih...